Sambutan Hari Hak Asasi Manusia di La Promenade Mall
Orang ramai dijemput hadir ke ‘Human Rights Festival Sarawak / Sambutan Hari Hak Asasi Manusia Peringkat Negeri Sarawak 2023 (HRFS 2023)‘ pada 9 & 10 Disember 2023, hari Sabtu dan Ahad, yang bertempat di Dewan Pameran Aras 1, La Promenade Mall, bermula dari 10am hingga 9pm. Acara ini merupakan anjuran bersama oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) Sarawak.
Sambutan hari Hak Asasi Manusia diadakan adalah bertujuan untuk meraikan pengisytiharaan Hak Asasi Manusia di seluruh dunia yang di isytiharkan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948 di Paris. Sambutan ini juga disambut di seluruh dunia pada setiap 10 Disember.
Pengisytiharaan ini dilakukan oleh PBB adalah sebagai seruan agar hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit, jantina, bahasa, pendapat politik, asal usul kebangsaan, sosial, harta, kelahiran atau apa-apa status lain adalah dilindungi secara universal. Tahun 2023 merupakan ulang tahun yang ke-75 untuk hari Hak Asasi Manusia sedunia yang bertemakan Martabat, Kebebasan dan Kesaksamaan.

NGO dan CSO Sarawak bersama-sama menganjurkan sambutan hak asasi manusia yang bakal berlangsung di La Promenade untuk meraikan hak universal ini bersama-sama orang awam bagi mereka yang tinggal di sekitar kawasan Kuching dan Kota Samarahan. Terdapat pelbagai aktiviti yang bakal di adakan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan dan makna sebenar hak asasi manusia.
Terdapat 15 NGO yang akan membuka booth di sepanjang program ini berlangsung dan setiap pengunjung akan diberikan senaskhah buku panduan mengenai maklumat sepanjang program berlangsung. Pengunjung juga boleh mendapatkan cop rasmi untuk setiap NGO di booth-booth mereka bagi mendapatkan 200 unit pingat yang juga merupakan edisi terhad. Selain daripada itu, ada jualan T-shirt edisi terhad dan juga aktiviti Zumba yang dilakukan oleh Zin Vanessa dan Damien dari The Stage Studio.
Pengarah filem yang berasal dari Sarawak iaitu Albert Bansa juga akan hadir dengan tayangan filem ‘Pengidup Aku‘ di mana para pengunjung boleh sertai sesi diskusi bersama dengan beliau. Beliau juga akan mengadakan bengkel asas dokumentari dan pembuatan filem untuk mereka yang berminat untuk menceburi bidang perfileman.

Sebuah NGO yang menjalankan latihan literasi pengundi Rise of Social Efforts (ROSE) akan mengadakan ceramah mengenai ‘Persempadanan Semula Sarawak’. Purple Lily sebuah NGO yang menjalankan latihan berteraskan pemerkasaan golongan wanita pula akan mengadakan sesi perbincangan mengenai ‘Anti-Pemerdagangan’ dan ‘Kesaksamaan Jantina’.
Persatuan Prihatin AIDS Sarawak pula akan mengadakan ceramah kesedaran menganai ‘Stigma dan Diskriminasi Terhadap Penghidap HIV.’ Mereka merupakan persatuan yang menjalankan program advokasi HIV/AIDS. Selepas itu, Dr Farah Nini Dusuki, Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM serta dengan Puan Altaf Deviyati, Setiausaha Exekutif SUHAKAM pula akan mengadakan forum mengenai ‘Hak Kanak-Kanak’.

Zunar, seorang kartunis Malaysia yang terkenal akan mengadakan bengkel lukisan di sepanjang 2 hari program ini berlangsung. Para pengunjung yang hadir ke acara ini akan berpeluang untuk mendapatkan 2 poskad yang terdapat di buku panduan program berserta dengan tandatangan khas dari Zunar. Consumer Association of Penang (CAP) pula akan mengadakan ceramah kesedaran mengenai hak-hak pengguna.
Untuk mendapatkan butiran yang lanjut mengenai acara program ini, orang ramai boleh lah mengikuti laman instagram Human Rights Festival Sarawak.
