Band yang membawa irama muzik bergenrekan Melodic Metalcore iaitu Torture of Agony (TOA) telah melancarkan single debut mereka berjudul “Between The Devil and The Ocean” pada bulan Oktober lepas. Lagu ini merupakan luahan emosi tentang perjuangan dalaman dan keinginan untuk bangkit semula selepas melalui detik gelap dalam hidup.

TOA mula aktif sejak tahun 2022 dan secara rasmi ditubuhkan pada 3 Mac 2023. Barisan ahli mereka terdiri daripada Paul (vokal), Ian (gitar), Vince (gitar), Carl (bass) dan Ezekeal (dram). Mereka sebelum ini pernah membuat persembahan di beberapa gig sekitar Kuching seperti Sounds Good Feels Good, Borneo Propaganda, Neck Pain Gig dan Death to Decay II. Siapa yang pernah tengok mereka beraksi secara live pasti tahu tenaga yang dibawa memang luar biasa, kasar, jujur dan penuh semangat.

created by photogrid

TOA datang dengan gabungan riff berat, vokal penuh emosi dan bunyi yang bukan sahaja menggegarkan telinga, tapi juga menyentuh hati. Lagu ini di mix dan master oleh Gary Joseph yang juga merupakan pemain bass untuk band Deathcore, Exhale My Ozone. Artwork untuk lagu ini pula di cipta oleh Farid Syarmany, yang juga merupakan pemain gitar untuk band Groove Metalcore, Blindsided.

Single pertama mereka membawa tema tentang perasaan tersepit antara dua dunia yang bertentangan. “The Devil” menggambarkan sisi gelap seperti konflik dalaman, kesedihan dan trauma, manakala “The Ocean” melambangkan ketenangan dan proses penyembuhan diri. Dalam erti kata lain, lagu ini menggambarkan perjalanan seseorang daripada rasa kehilangan arah kepada titik penerimaan dan kedamaian.

Apabila didengar dengan teliti, pendengar akan dapat rasa gabungan antara emosi dan agresi yang kuat. Vokal Paul yang penuh jeritan emosi memberi kesan yang sangat raw dan jujur, seolah-olah menyalurkan perasaan yang ramai pernah rasa tapi tak mampu diluahkan. Lirik seperti“The heartbreak nobody knows, in the shadows where the darkness grows” memberi gambaran jelas tentang betapa beratnya beban yang dipikul secara senyap.

created by photogrid

Dari segi bunyi dan produksi, TOA mengekalkan DNA Melodic Metalcore klasik dengan sentuhan moden yang segar. Pengaruh daripada band seperti Parkway Drive, As I Lay Dying dan In Flames memang ketara, tetapi TOA berjaya mencipta identiti sendiri melalui cara penyampaian yang lebih emosional dan peribadi.

Bila didengar, lagu ini membawa pendengar masuk ke dalam dunia yang kelam tapi jujur. Ada sesuatu yang lebih dalam bila kita dengar dengan teliti, seolah-olah setiap nota dan vokal membawa beban emosi yang cuba dilepaskan. TOA seperti mahu buktikan bahawa metalcore tidak hanya tentang marah, tetapi juga tentang melepaskan dan menyembuhkan.

‘Between The Devil and The Ocean’ kini boleh didengar di YouTube. Kalau anda tengah cari lagu yang ada tenaga, emosi dan cerita tersendiri, lagu baru daripada Torture of Agony ni memang berbaloi untuk didengar. Jangan lupa untuk dengar lagu ini di YouTube subcribe page Torture of Agony. Jangan lupa juga untuk follow mereka di setiap platform media sosial mereka untuk mendapatkan apa-apa maklumat terbaru mengenai mereka.

 

Penulisan oleh – Rusydia