Sebuah label agensi hiburan dan pengurusan artis serta pempengaruh media sosial iaitu XIBO Entertainment telah meriliskan sebuah muzik video untuk lagu baru mereka iaitu ‘Aram Kitai Gawai‘, yang menampilkan XIBO All Stars, sempena hari Gawai yang akan datang tidak lama lagi. XIBO All Stars merupakan gabungan artis-artis dan pempengaruh yang bernaung di bawah XIBO Entertainment dan kesayangan rakyat Sarawak. Mereka terdiri daripada; Hairee Francis, Melissa Francis, Julai Billie, Sherry Ebbie, Shirly Nomi, dan Jeffdom.

Maksud ‘Aram Kitai Gawai‘ dalam bahasa Iban jika di terjemahkan ke bahasa Melayu adalah ‘Mari Kita Gawai‘. Menurut hebahan akhbar yang di hantar oleh XIBO, lagu ini adalah bukan sekadar lagu. Lagu ini merupakan satu penghormatan kepada generasi terdahulu dan merupakan satu simbol perpaduan untuk masyarakat pelbagai kaum di Sarawak. Setiap artis dan pempengaruh ini juga membawa lagu ini dengan gaya vokal mereka yang tersendiri dalam menyampaikan mesej kebersamaan, rasa syukur, dan kebanggaan terhadap warisan Dayak.

Iringan irama tradisional yang digabungkan dengan elemen muzik kontemporari menghidupkan semula warisan Dayak dalam rentak yang segar namun masih tetap ada akar identiti asalnya. Ia bukan sekadar alunan muzik, tetapi ia adalah sebuah perjalanan emosi: meriah, disulami elemen nostalgia, dan rasa syukur kepada adat yang terus hidup.

Menurut Hairee Francis, “Lagu ini adalah satu penghargaan kepada siapa kita – bahasa, cerita dan kasih sayang yang kita kongsi ketika Gawai.” Lagu ini merupakan hasil karya ciptaan Hairee Francis dengan penerbitan oleh Francis Five Production.

Untuk muzik video pula, JayC Panganiban bertindak sebagai penerbit dan pengarah kreatif, Jasmine Riyana sebagai penerbit barisan yang menyusun produksi dengan penuh teliti. Sinematografi pula adalah diarahkan oleh Danish Busmah dari 21 Ways dan dibantu oleh penolong pengarah Nazmi Mik bagi memastikan setiap detik dirakam dengan sempurna.

Bagi melengkapkan lagi pengalaman muzik video ini supaya ia sarat dengan visual budaya, muzik video ini dirakam di rumah panjang dengan sentuhan nadi bandar moden. Setiap cebisan video ini menampilkan keindahan busana tradisional, gemalai tarian ngajat, dan semangat perayaan sebagai sebuah penghormatan sinematik kepada Gawai dan jiwa masyarakat Dayak.

Para penari yang ada didalam muzik video ini pula adalah Rovia Wilson, Sebiien Santih, Moltyrina, Mark Cassidy, dan Phillex Addy. Turut ada untuk kemunculan istimewa di dalam muzik video ini adalah Larissa Ping, Lanny Ho, dan Mag Johari.

Jangan lupa untuk tonton MV ‘Aram Kitai Gawai‘ daripada XIBO All Stars di platform YouTube mereka dan boleh didengari di setiap platform streaming muzik digital. Juga jangan lupa untuk like, subscribe dan share!