Sempena sambutan ulang tahun ke-62 kemerdekaan Sarawak, Khemah Cafe dan KolabBasi:Kumpulan Tidak Konsistan(KromaKuning) akan menganjurkan sebuah acara khas iaitu: KHEMAH I.N.D.I.E.P.E.N.D.E.N.C.E DAY. Acara ini merupakan acara malam open mic yang akan memaparkan suara-suara alternatif dan ekspresi seni bebas dari komuniti kreatif tempatan. Kemasukan untuk acara ini adalah percuma!

Acara ini akan berlangsung pada 22 Julai 2025(Selasa) bermula dari jam 8.30pm sehingga habis, bertempat di Khemah Cafe, 73 Jalan Dagok Timur, Kuching, sebuah lokasi lepak santai yang terkenal dengan suasana camping tropikal dan sokongannya terhadap acara seni dan budaya alternatif.

Acara ini juga akan memaparkan persembahan daripada beberapa barisan artis tempatan yang aktif dalam dunia muzik Indie di Sarawak. Mereka adalah Wan Purong; penyannyi kepada band yang bermain irama Bedroompop, Wp.Shhh dan juga merupakan gitaris kepada band Indiepop iaitu Kugiran A.Sazalies. Seterusnya adalah Lydbie; beliau merupakan penyanyi dan penulis lagu yang mempunyai aura yang retrospektif dan beliau juga merupakan pemain keyboard kepada band yang bermain irama Post-Rock iaitu No.Mo. Seterusnya adalah Adruce Azman; seorang penyanyi yang mempunyai suara dinamik yang bermain dengan muzik berirama Folk, Blues, dan Jazz dengan cara yang sangat versatile. Penyanyi jemputan yang terakhir pula adalah Akmal Kamisly, seorang bakat muda dari Kuching yang bermain dengan irama Lo-fi Contemporary.

Menurut hebahan akhbar yang di hantar kepada kami untuk acara ini, acara ini dianjurkan dengan tema “Kemerdekaan” dan “Indie”, sebagai melambangkan kebebasan dalam mencipta, bersuara dan menjadi diri sendiri sama ada dalam bentuk muzik, fashion, idea atau gaya hidup. Dengan berbekalkan semangat D.I.Y(Do It Yourself) yang menjadi asas kepada gerakan seni bebas, semua perkara tentang acara ini dari segi design dan operasinya adalah dilakukan secara kolektif dan sukarela oleh penggerak-penggerak komuniti lokal.

Orang ramai dijemput untuk hadir di acara ini dan oleh sebab acara ini bertemakan camping, orang ramai juga dialu-alukan untuk berpakaian seperti nak pergi camping. Kerana mereka yang hadir di berpakaian bertemakan camping, akan berpeluang untuk menikmati promosi istimewa untuk harga minuman di Khemah Cafe.